DARO: Bekas Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Wahab Dolah terus komited untuk memberi sumbangan kepada masyarakat kampung sempena Ramadan bagi menyantuni komuniti setempat.
Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd itu menaja daging untuk penduduk di Pulau Bruit baru-baru ini.
Beliau turut menyumbang buah kurma untuk setiap keluarga membabitkan lebih 7,000 ketua isi rumah di kawasan Parlimen Igan yang akan diagihkan esok.
Kaedah pengagihan daging pula berbeza iaitu orang kampung bergotong-royong memasak daging dan kemudian diedarkan ke setiap ketua isi rumah untuk berbuka puasa di kampung Betanak, Kampung Penibong dan Penuai.
Wahab berkata, daripada memberi daging 1/2 atau 1 kilogram kepada setiap ketua isi rumah, adalah lebih baik memberi dan mengedarkan masakan yang sudah siap bagi memudahkan penerima terutama kalangan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal.
Menurutnya, amalan bersedekah itu adalah tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah beri ‘kerana dalam rezeki saya, ada rezeki orang lain.’
“Tanda kesyukuran ini ada tiga cara. Pertama dalam jiwa berasa kesyukuran dengan melaksanakan ibadah.
“Kedua, dengan ucapan syukur Alhamdulillah dan ketiga perbuatan iaitu menghulurkan atau mengembalikan hak orang lain atas rezeki yang kita peroleh.
“Saya rasa lebih tenang dan gembira setiap kali menghulur sumbangan,” katanya yang setiap tahun turut mengadakan sumbangan seumpama itu di Kampung Tian sejak dahulu.
Wahab berkata, bayangkan di Madinah dan Tanah Haram Makkah, orang ramai berebut-rebut memberi sedekah terutama pada Ramadan.
Katanya, amalan bersedekah dalam bulan puasa terutama memberi makanan untuk orang berbuka adalah amalan yang perlu digalakkan.
Sementara itu, Wahab turut menyumbang RM5,000 untuk setiap masjid dan RM3,000 untuk setiap surau termasuk surau sekolah di kawasan Parlimen Igan.
“Jumlahnya kira-kira RM190,000. Ini bertujuan menampung kos operasi tempat ibadah yang meningkat pada Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.
Majlis penyampaian sumbangan itu diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Tian, baru-baru ini yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.