PARIS: Kylian Mbappe berkata dia akan kekal sebagai pemain Paris Saint-Germain musim depan walaupun masa depannya sentiasa menjadi spekulasi ketika bintang Perancis itu berharap dapat bermain untuk negaranya pada Olimpik Paris 2024.
Ditanya di mana dia melihat dirinya bermain musim depan dalam temubual bersama siaran televisyen France 3 semalam, Mbappe membalas: “Di Paris Saint-Germain. Saya orang Paris, saya ada kontrak sama seperti Paris Saint-Germain.”
Mbappe menandatangani kontrak baharu bersama PSG pada penghujung musim lalu yang akan mengekalkannya di kelab milik Qatar itu hingga 2025, walaupun media Perancis melaporkan tahun lalu bahawa perjanjian itu ada pilihan dan bergantung pada pemain.
Dia menyertai PSG pada 2017 dari Monaco dan masih berharap dapat menang Liga Juara-Juara bersama kelab tempat kelahirannya.
“Saya sudah sekali berada di final dan separuh akhir. Saya sudah berada di suku akhir, kelompok 16 terakhir. Saya sudah lakukan apa sahaja kecuali memenanginya,” katanya.
Pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada 2018 dan naib juara pada tahun lalu itu berkata “impiannya” adalah mewakili negaranya pada Olimpik Paris.
“Saya harap dapat berada di sana. Semua orang tahu saya sentiasa menyimpan impian bermain di Sukan Olimpik tetapi ia tidak bergantung kepada saya,” katanya.
Kelab kebiasaannya tidak melepaskan pemain untuk beraksi di Olimpik kerana ia bukan sebahagian daripada kalendar perlawanan antarabangsa FIFA. – AFP