KUALA LUMPUR: Malaysia menyaksikan aliran masuk asing bersih untuk minggu kedua berturut-turut, yang meningkat kepada RM18.8 juta daripada RM11.5 juta pada minggu sebelumnya, didorong oleh sentimen positif daripada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.
Tiga sektor utama yang menyaksikan aliran masuk asing bersih pada minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM39.1 juta), utiliti (RM24.2 juta) dan tenaga (RM18.2 juta), menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
“Sentimen kekal baik, didorong oleh lawatan Anwar ke China baru-baru ini, yang meraih komitmen pelaburan dari China sebanyak RM170.07 bilion dalam beberapa industri di Malaysia dan potensi eksport bernilai RM2.44 bilion ke China,” katanya.
Pelabur institusi kembali sebagai pembeli bersih dengan jumlah RM50.1 juta, selepas dalam masa yang singkat menjadi penjual bersih sebanyak -RM3.9 juta pada minggu sebelumnya. Mereka menjual bersih RM71.0 juta pada Khamis tetapi menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu itu, menurut MIDF Research dalam Laporan Aliran Dananya bagi minggu berakhir 7 April 2023.
“Setakat ini, pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih selama 10 daripada 14 minggu dengan sejumlah RM1.82 bilion,” katanya.
Mengenai peruncit tempatan, mereka menjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut sebanyak -RM69.0 juta dan membeli bersih RM8.0 juta pada Khamis tetapi menjadi penjual bersih untuk sepanjang minggu tersebut.
Mereka telah membeli bersih selama tujuh daripada 14 minggu pada tahun ini, dengan sejumlah RM22.9 juta.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan untuk purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak -5.8 peratus, institusi tempatan (-3.2 peratus) dan pelabur asing (-18.8 peratus).
Pelabur asing terus mencari jaminan di Asia
Katanya, pelabur asing terus mencari jaminan di Asia apabila belian bersih ekuiti di rantau ini berlanjutan ke minggu ketiga berturut-turut.
“Berdasarkan data agregat sementara untuk lapan bursa yang kami jejaki, pelabur yang diklasifikasikan sebagai ‘warga asing’ membeli bersih ekuiti Asia bernilai AS$146.8 juta walaupun pada kadar yang perlahan, berjumlah hanya lapan peratus daripada jumlah belian bersih pada minggu sebelumnya sebanyak AS$1.86 bilion berikutan minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti di kebanyakan negara,” katanya.
Aliran mingguan bercampur-campur, dengan empat negara mencatatkan aliran masuk asing bersih dan empat negara dengan aliran keluar asing bersih.
India mendahului pada minggu itu dengan aliran masuk asing bersih sebanyak AS$455.6 juta walaupun minggu dagangan tiga hari kerana cuti umum.
Indonesia mengekalkan momentum positifnya untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak AS$183.3 juta berdasarkan data inflasi kepada paras terendah dalam tempoh tujuh bulan sebanyak lima peratus tahun ke tahun pada Mac 2023 (Februari 2023: 5.5 peratus).
Selepas enam minggu aliran keluar asing bersih, Thailand mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak AS$24 juta minggu lepas. – Bernama