KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh Syariah Ihsan-i kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 7 April 2023.
Bank itu berkata kemudahan Ihsan-i yang disediakan bertujuan membantu ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh syariah dengan kadar kompetitif.
Jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Nor Azam M. Taib.
“Pembayaran ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan Syariah dan mengguna pakai konsep Tawarruq dan antara kelebihannya adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal.
Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.
Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com bermula 7 April 2023.
Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada kelayakan pembiayaan dan kedudukan kredit para pemohon. – Bernama