KUALA LUMPUR: Prestasi kukuh Proton bagi 2023 berterusan dengan jualan suku pertama 2023 melonjak 50.9 peratus dari tahun ke tahun kepada 40,287 unit dan pegangan pasaran berkembang kepada 21.2 peratus.
Proton Holdings Bhd dalam satu kenyataan berkata, pegangan pasaran suku pertama 2023 menokok 4.5 peratus dari tahun ke tahun.
Syarikat automotif nasional itu berkata bagi Mac sahaja, sebanyak 14,573 unit (domestik dan eksport) dijual, naik 3.8 peratus berbanding Februari atau 11.9 peratus lebih tinggi daripada bulan yang sama pada 2022.
“Bahagian pasaran syarikat untuk Mac dianggarkan 18.7 peratus, membolehkan Proton mengekalkan tempat kedua dalam kedudukan jadual jualan,” katanya.
Jualan kenderaan pada Mac telah mencapai rekod baru dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan mencecah 78,000 unit, memecahkan rekod lama sebanyak 76,657 unit yang telah dicatatkan pada Disember 2022.
“Proton menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku pertama 2023 dan kami bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit.
“Bagaimanapun, kami sedar kadar jualan pada tiga bulan pertama naik kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana)” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah.
Tarikh akhir penghantaran adalah 31 Mac 2023 dan ini membantu menerangkan kenapa TIV merekodkan anggaran sebanyak 78,000 unit pada bulan ini.
Gambaran sentimen pasaran yang lebih tepat mungkin akan muncul pada akhir suku kedua 2023.
“Kami yakin syarikat akan mampu mengekalkan momentum jualan. Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan kami akan ada penambahan baharu ke barisan model Proton lewat tahun ini.
“Pada masa yang sama, kami baru-baru ini mengumumkan komitmen kami untuk mengembangkan penawaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pada masa depan dan ini akan membawa jenama itu ke segmen pasaran baharu ketika kami mencari pertumbuhan jangka panjang dalam memenuhi rancangan sepuluh tahun kami,” katanya.
Proton Persona terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran sedan segmen B untuk bulan ketiga berturut-turut dan jualan meningkat pada Mac sehingga mencecah 2,421 unit.
“Angka jualan Persona bagi suku pertama mencecah 6,773 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 79.2 peratus,” katanya.
Sementara itu, populariti Proton X50 tidak pernah tercabar semenjak ia dilancarkan.
“SUV segmen B itu tetap mendahului segmennya dan kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan 3,414 unit dijual pada Mac.
“Jualan suku pertama pula adalah 9,668 unit, penambahan 34.4 peratus berbanding dengan 2022 manakala pendahulu jualan segmen C adalah Proton Exora, yang kekal sebagai MPV segmen C terlaris dengan 426 unit dijual semasa Mac lepas,” katanya.
Model Proton yang paling popular adalah Proton Saga yang mencapai jualan melebihi 6,000 unit untuk bulan kedua berturut-turut dengan 6,313 unit dijual.
Bagi suku pertama, syarikat berjaya menjual 17,446 unit Proton Saga, kenaikan sebanyak 84.6 peratus bagaimanapun pertumbuhan menerima kesan akibat banjir yang telah menjejas pengeluaran Saga pada awal 2022.
“Proton Iriz serta Proton X70 mencapai jualan, masing-masing sebanyak 712 dan 1,272 unit,” katanya lagi. – Bernama