KUALA LUMPUR: Sebanyak 312 kawasan titik kehadiran (PoP) telah berjaya disiapkan di seluruh negara setakat 31 Mac 2023 sekali gus memanfaatkan sejumlah 32,448 premis untuk melanggan dan menikmati internet berkelajuan tinggi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata pelaksanaan projek berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memastikan liputan internet secara meluas di seluruh negara terutamanya bagi kawasan luar bandar.
“PoP ialah penyediaan infrastruktur jalur lebar hab gentian optik yang merupakan salah satu alternatif dalam memastikan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar dapat diperluaskan ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara dengan lebih baik.
Pelaksanaan ini akan menjadikan lokasi berhampiran sekolah luar bandar sebagai hab untuk menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik untuk kegunaan sekolah, kawasan perindustrian, premis-premis kerajaan berhampiran dan masyarakat sekelilingnya dengan radius 2.5 kilometer (km) hingga tiga km,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kementerian itu di Dewan Negara, hari ini .
Katanya, secara keseluruhan fasa satu bagi projek berkenaan akan melibatkan sebanyak 630 lokasi, manakala fasa dua pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara.
Menurutnya kemudahan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 432,300 premis yang akan menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ini menjelang 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023, telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM725 juta bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.
Sementara itu, Teo berkata pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kewujudan iklan mencolok mata yang dipaparkan menerusi iklan di dalam portal berita dalam talian.
“Memang terdapat pelbagai jenis iklan yang tertera di alam maya dan ada di antaranya tak sesuai atau tidak ingin dilihat oleh sesetengah orang. Oleh itu masyarakat disarankan untuk menjaga informasi peribadi dan menghindari daripada mengklik iklan yang mencurigakan.
“Ini kerana lebih kerap klik iklan tidak senonoh, lebih tinggi risiko akan ditawarkan jenis berkenaan,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tampil membuat aduan kepada MCMC atau Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), sekiranya ada iklan-iklan yang sedemikian tertera di laman-laman sesawang yang dilayari. – Bernama