KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkaitan rasionalisasi semua nilai elaun perkhidmatan awam di negara ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Ugak Kumbong berkata kajian itu biarpun bersifat menyeluruh, namun keutamaan diberikan kepada kadar elaun yang ketika ini masih di bawah RM100.
“Kita juga akan mengkaji rasionalisasi elaun-elaun perkhidmatan awam lain yang mana kita dapati tidak disemak melebihi tempoh 20 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) sebagai maklum balas kepada cadangan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pada sesi perbahasan sebelum ini yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula kadar elaun ‘on call’ pegawai perubatan.
Ugak berkata kerajaan juga melalui JPA sedang meneliti kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bagi pelajar tajaan di luar negara bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup mahasiswa.
Mengulas mengenai jumlah penjawat awam di dalam perkhidmatan ketika ini, Ugak berkata setakat 1 April tahun ini terdapat 1.005 juta penjawat awam di dalam perkhidmatan melibatkan jawatan berwaran, tidak termasuk anggota polis dan tentera.
Beliau berkata ia merangkumi 764,601 penjawat awam Melayu; 75,743 Bumiputera Sabah, 66,839 penjawat awam Cina; 48,171 Bumiputera Sarawak; 41,450 kaum India; 6,526 pekerja dari kaum Bugis, Siam dan lain-lain serta sejumlah 2,252 dalam kalangan Orang Asli Semenanjung.
“Ketika ini terdapat lima pihak diberi peranan dalam urusan pengambilan dalam perkhidmatan awam iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan Majlis Angkatan Tentera.
“Bagi SPA kaedah lantikan adalah berdasarkan merit dan kompetensi calon tanpa kuota tertentu terhadap etnik atau kaum, semua warganegara Malaysia berpeluang untuk dipertimbang dalam persaingan terbuka dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Kesavadas Achyuthan Nair mengenai peratusan dan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam ketika ini. – Bernama