TATAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas pergi ke kebun berdekatan Rumah Panjang Kanyan Kenyarai di sini baru-baru ini, diteruskan hari ini.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, operasi yang memasuki hari keempat itu dilaksanakan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.
“Operasi yang memasuki hari keempat bermula pada 8.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, operasi sebelum ini dibantu penduduk kampung yang mana ia melibatkan radius kawasan pencarian sejauh lima kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
Namun, tambahnya, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca sebelum ia disambung semula semalam.
Pada Rabu lalu, Juong Emok, 52, keluar berjalan kaki seorang diri ke kebun sekitar 6.00 petang untuk berjumpa dengan ahli keluarganya.
Bagaimanapun, menurut keluarga mangsa, mangsa dikatakan tidak sampai di tempat yang ditujui.
Ujar Kamarudin, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 12.05 tengah hari Sabtu sebelum melancarkan SAR untuk mengesan mangsa.
Oleh Carolyne Utih