SIMANGGANG: Penduduk tidak mengira agama dan bangsa dialu-alukan mengambil bahagian dalam program berbuka puasa beramai-ramai ‘Lan Berambeh Sungkei 2023’ di perkarangan Tebingan Sri Aman.
Jurucakap penganjur, Roziana Rosli berkata program berbuka puasa yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sri Aman itu berkonsepkan juadah bawaan (potluck) yang akan diadakan Rabu depan, 12 April.
Beliau mengimbau acara berbuka puasa ala berkelah beramai-ramai itu yang dimulakan pada tahun lalu.
“Kami sebagai penganjur program ‘Lan Berambeh Sungkei 2023’ ingin menjemput dan mempelawa semua penduduk tidak mengira bangsa dan agama di daerah ini untuk bersama-sama berbuka puasa secara santai di tebingan itu nanti.
“Kita bawa makanan secara potluck, bawa alas atau tikar sendiri, bawa keluarga serta sahabat dan kita bersantai bersama sambil menikmati juadah berbuka puasa.
“Kita eratkan silaturahim dan persaudaraan sesama kita dan pihak penganjur hanya menyediakan kurma dan air.
“Mari kita jadikan Simanggang sebagai contoh toleransi beragama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Rozana berkata, program yang dimulakan seawal 2.00 petang itu bukan sahaja tertumpu dengan majlis berbuka puasa, namun pihak penganjur turut menyediakan acara lain bagi memeriahkan lagi suasana.
Antara aktiviti yang dianjurkan sebelum berbuka puasa iaitu demontrasi seni khat, pertandingan mewarna kanak-kanak, pameran agensi kerajaan dan bank, kaunter zakat fitrah, pertandingan pakaian menarik, persembahan busking dan banyak lagi.
“Saya meminta orang ramai untuk hadir dan berkumpul di pekarangan Tebingan (waterfront) Simanggang bermula 2.00 petang,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi penganjur ditalian 010-5907634 (Anoi) atau 011-51402290 (Atiqah).