SIBU: Satu sesi dialog dan taklimat dicadangkan untuk mengenal pasti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada kontraktor ketika berada di tapak pembinaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng merujuk kepada aduan penduduk setempat di tapak pembinaan kawasan perumahan di Bukit Penyau.
“Maklum balas kepada PBT yang bertanggungjawab dan tindakan telah diambil, tetapi isu itu masih belum diselesaikan.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan dapat mengambil serius perkara ini. Sudah tiba masanya untuk kita memperbaiki keadaan di tapak pembinaan,” katanya.
Beliau berkata, pencemaran di tapak pembinaan yang diselenggarakan oleh kontraktor menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat.
“Penduduk mempunyai hak kebebasan untuk menjalani kehidupan. Ini nak jemur pakaian di luar pun takut, anak-anak pulak nak beriadah pun tidak dibenarkan kerana kualiti udara tidak sihat, berdebu dan berpasir,” jelasnya kepada pemberita ketika melawat tapak tersebut baru-baru ini.
“Mengikut peraturan, kolam dan penyembur air mesti dipasang di tapak pembinaan untuk membersihkan roda lori sebelum mereka keluar ke jalan raya.
“Tapi malangnya, kontraktor tidak berbuat demikian. Saya rasa kita perlu mengadakan sesi dialog dan taklimat kepada kontraktor apa yang perlu mereka lakukan, apakah prosedur yang perlu mereka ikuti dan beri mereka masa untuk memasang apa yang perlu,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN