KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini meluluskan sebidang tanah baharu untuk memperluaskan tanah perkuburan Islam Samariang.
Katanya, tanah baharu yang terletak di belakang kawasan perkuburan itu boleh menampung permintaan di tanah perkuburan Islam Samariang sehingga 2050.
“Selain itu, kami juga sedang membangunkan tanah perkuburan di Matang, Bako dan Santubong dengan struktur dan susun atur yang sama seperti dilakukan di tanah perkuburan Islam Samarang.
“Di Sibu pula, satu tapak perkuburan Islam baharu juga sudah disediakan di Jalan Oya untuk menampung keperluan penduduk setempat memandangkan tanah perkuburan di Masjid Al-Qadim hampir penuh.
“Di Miri pula, kami bercadang untuk melakukan sesuatu yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Pusara Islam Semariang (SICC) di sini, hari ini.
Perasmian Kompleks Pusara Islam Samariang (SICC) ini bermakna tercapainya hasrat bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Abang Johari berkata ketika lawatan Adenan ke tanah perkuburan Islam Samariang beberapa tahun lalu, beliau meminta supaya kemudahan dibina di kawasan tanah perkuburan untuk keselesaan pengunjung yang datang menziarahi kubur.
“Jadi, Alhamdulillah saya dapat memenuhi hasrat Allahyarham Tok Nan dan juga masyarakat Islam di sini dengan membina kemudahan ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT