SERIAN: Kegembiraan seorang wanita menyambut Ramadan bertukar hiba apabila rumah kediamannya musnah dalam kebakaran di No.15 Kampung Hulu 2 di sini, awal pagi tadi.
Kejadian pada 4.45 pagi tadi berlaku ketika pemilik rumah, Maznah Abdullah Liam Mail dalam persiapan menyiapkan juadah bersahur.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 4.54 pagi tadi.
Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi kira-kira 4 Kilometer dari BBP diketuai dua Pegawai Kanan PPgB Frederick Aok dan PBK I Jlie Umar ke lokasi.
Sebaik tiba, rumah pertama iaitu rumah lama telah terbakar 100 peratus manakala rumah kedua turut terbakar 30 peratus.
“Kebakaran dapat dikawal 6.06 pagi dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Maznah Abdullah Liam Mail berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Turut berada di lokasi kejadian, Komander Operasi PBK I (KUP) Sim Mui Chai bersama dua anggota Plois Diraja Malaysia (PDRM).