KUCHING: Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) diberi tugasan memantau pelaksanaan projek Persekutuan di bawah kos RM50 juta di negeri ini.
Ketua Pengarahnya yang baharu, Dato Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini bagi memastikan supaya sesuatu projek itu tidak lewat daripada jadual atau menjadi ‘projek sakit’.
“Oleh itu, ICU diberi tugasan untuk memantau projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh semua kementerian di negeri ini terutama projek di bawah nilai RM50 juta
“ICU juga membantu usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan serta menangani isu pembinaan pos kawalan sempadan supaya seiring dengan pembangunan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, hari ini.
Katanya, kunjungan itu bertujuan membincangkan peranan dan fungsi ICU serta menjalin kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Wan Ahmad Dahlan yang ditemui media selepas kunjungan itu berkata, ICU diberi tugasan untuk memantau projek-projek pembangunan yang dilaksanakan oleh semua kementerian di negeri ini terutama projek di bawah nilai RM50 juta supaya tidak lewat daripada jadual atau menjadi projek sakit.
“ICU juga membantu usaha kerajaan dalam membasmi kemiskinan serta menangani isu pembinaan pos kawalan sempadan supaya seiring dengan pembangunan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, mengumumkan Sarawak dan Sabah dibenarkan untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta tanpa perlu merujuk kepada agensi Persekutuan seperti sebelum ini.
Autonomi ini secara langsung menghapuskan birokrasi dan kelewatan projek.
Untuk rekod, ini merupakan kunjungan hormat pertama Wan Ahmad Dahlan ke atas Premier Sarawak selepas beliau dilantik menjadi Ketua Pengarah ICU yang baharu pada 20 Februari 2023 bagi menggantikan Datuk Ruji Ubi yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Hadir sama dalam kunjungan ini ialah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Ketua Pengarah (Pemantauan dan Pembangunan) ICU YM Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad dan Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Jasni Jubli
Oleh SHAHRUL QAIZAT