KUALA LUMPUR: Servex (Malaysia) Sdn Bhd, pembekal produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pengedar komponen komputer, bekerjasama dengan Green Packet Bhd untuk menjadi antara pengedar saluran IT untuk penyelesaian KipleLive, yang termasuk pengimbas haba FR.
Produk itu disepadukan dengan kecerdasan buatan, pengecaman wajah dan perkhidmatan yang dihoskan awan untuk mengimbas dan mencatatkan suhu dan kehadiran setiap pekerja dan pengunjung, walaupun dengan memakai topeng muka.
“Walaupun semakin banyak pejabat dibenarkan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, penting untuk majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam mengekang penularan Covid-19,” kata Jerry Soon, Pengurus Besar Servex.
Oleh itu, Servex mahu membawa penyelesaian ke pasaran dan memenuhi keperluan rakan perniagaan dan pelanggan dengan mempersiapkan mereka untuk memulakan semula operasi perniagaan mereka tidak lama lagi, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif KipleLive, Ti Lian Seng berkata, pengimbas haba FR amat sesuai untuk perusahaan kecil dan sederhana, sekolah dan kilang. Selain itu, peranti ini dapat mengukur satu orang pada satu masa dengan kelajuan sehingga 30 orang dalam satu minit.
“Penyelesaian ini juga dilengkapi dengan aplikasi yang membantu perniagaan mematuhi SOP ketat yang digariskan oleh kerajaan seperti memasukkan butiran peribadi dan keluarga serta catatan perjalanan untuk pengesanan kontak. Bukan itu sahaja, aplikasi KipleLive membolehkan pernyataan kesihatan harian pekerja yang mengurangkan kertas kerja berkaitan pematuhan dan hubungan manusia.”
“Dengan mempunyai Servex sebagai antara pengedar kami yang juga anak syarikat Acer, saya pasti ramai orang dan perniagaan akan mendapat manfaat daripada penyelesaian KipleLive dalam norma baharu selepas Covid-19,” kata Ti.
Servex pada masa ini mempunyai lebih 3,000 pengedar di seluruh negara, dengan ibu pejabat di Selangor, dan 15 pejabat cawangan beroperasi sepenuhnya di setiap negeri.
Ia turut memperluaskan operasinya dalam bidang e-dagang baru-baru ini sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mencapai khalayak yang lebih luas. Antara pelan dalam perancangan ialah menawarkan penyelesaian yang lebih inovatif termasuk Internet-of-Things (IoT) berikutan pendigitalan adalah kunci untuk maju.- Bernama