KUALA LUMPUR: Unit perkapalan petroleum MISC Bhd, AET Tanker Holdings Sdn Bhd (AET) telah menghantar Eagle Petrolina, satu daripada empat kapal tangki Suezmax DP2 bagi kontrak sewa jangka panjang kepada syarikat gergasi minyak Brazil, Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras).
AET berkata, penghantaran kapal tangki yang berkapasiti berat muatan (dwt) 152,000 itu dilakukan pada Jumaat lepas.
Syarikat itu dalam kenyataan semalam berkata, kapal itu akan memulakan operasinya menjelang akhir bulan depan bersama-sama dua kapal AET yang telah beroperasi untuk Petrobras di lembangan Brazil.
“Eagle Petrolina dibina di Samsung Heavy Industries (SHI) di Korea Selatan manakala tiga lagi (dalam dwt yang sama) masih dalam pembinaan dan akan dihantar pada akhir tahun ini,” katanya.
Menurut AET, pihaknya mengambil langkah-langkah kesihatan dan keselamatan tambahan di tengah-tengah penularan COVID-19 di mana pasukan Eaglestar bekerjasama rapat dengan pasukan SHI bagi melindungi pembinaan dan penghantaran yang sedang dilaksanakan.
Pada Mei 2018, AET dan Petrobras memeterai kontrak sewa jangka panjang untuk mengendalikan empat kapal tangki Suezmax di lembangan Brazil dengan tempoh sewa selama 10 tahun dan Eagle Petrolina adalah satu daripada kapal berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AET Kapten Rajalingam Subramanian berkata, pembinaan dan penghantaran Eagle Petrolina yang dalam keadaan selamat ketika penularan Covid-19 adalah satu pencapaian besar dan bukti komitmen semua pihak yang terlibat.
“Bagi AET, melihat kepada persetujuan yang dicapai dengan Petrobras sejak dua tahun lalu yang kini sudah mula beroperasi merupakan satu lagi langkah penting dalam mengembangkan aktiviti-aktiviti DP kami di lembangan Brazil dan kerjasama kami dengan Petrobras,” katanya.
Ketika ini AET mengendalikan tujuh kapal tangki DP termasuk Eagle Petrolina dan mempunyai 10 lagi kapal tangki dalam pembinaan yang akan dihantar antara 2020 hingga 2022. – Bernama