MIRI: Seramai 14 pemilik premis makanan di sini masing-masing dikompaun sebanyak RM500 atas kesalahan meletakkan barang jualan di kawasan kaki lima dan tempat letak kereta.
Majlis Bandaraya Miri (MBM) menerusi satu kenyataan berkata, kesemua mereka dikompaun berdasarkan Seksyen 18 mengenai kebersihan (Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996).
“Kesemua peniaga dikompaun menerusi satu operasi penguatkuasaan bagi kesalahan meletak barang ataupun objek di parking lot, kawasan kaki lima dan menyalahgunakan kawasan belakang kedai sekitar kawasan bandar Miri 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, semalam.
“Operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan oleh Seksyen Penguatkuasa dan Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Miri dengan penglibatan 17 anggota di mana fokus utama adalah terhadap kedai makan, bengkel kereta dan tempat mencuci kereta,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi , MBM bertanggungjawab di dalam penguatkuasaan Cleanliness Bylaw di dalam memastikan pematuhan terhadap larangan menjaja di kaki lima dan tempat letak kereta secara haram yang boleh menjejaskan imej dan permandangan Bandaraya Miri serta boleh menyebabkan kacau ganggu, mengganggu laulintas dan mengancam keselamatan orang awam.
“MBM menyeru para peniaga agar mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam lesen termasuk tidak meletakkan barang jualan di tempat letak kereta dan di kaki lima bagi menjaga kebersihan serta imej Bandaraya Miri,” ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING