MIRI: Seramai 80 penghuni membabitkan 12 keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Wireless di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.15 pagi.
“Kebakaran itu melibatkan kira-kira Sembilan rumah jenis tidak kekal berstruktur kayu.
“Enam rumah musnah 100 peratus, dua lagi terbakar 50 peratus manakala sebuah lagi terbakar 20 peratus,” katanya.
Katanya, kerja memadam kebakaran melibatkan kekuatan 23 pegawai bomba dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong.
“Pemadaman juga turut dibantu menggunakan pam angkut dan kapal nelayan milik persendirian penduduk kampung dengan satu aliran dua nozel,” katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Oleh Liong Chai Ling