KUALA LUMPUR: Hong Leong Asset Management Bhd (Hong Leong AM) telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM373 juta untuk 22 dana bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hoo See Kheng berkata, walaupun terdapatnya kebimbangan mengenai inflasi global dan ketidaktentuan pasaran, syarikat itu berjaya melaksanakan komitmennya untuk memberikan hasil agihan yang mampan kepada pelaburnya.
“Bagi tahun 2023, kami optimis bahawa kami akan melihat pemulihan dan pertumbuhan yang luas pada tahun ini, didorong oleh keyakinan pelabur yang berterusan dan kestabilan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut syarikat pengurusan aset itu, dana paling teratas ialah Dana Sektor Produk Pengguna Hong Leong dengan hasil agihan satu tahun (8.59 peratus), diikuti oleh Dana Pertumbuhan Hong Leong (6.90 peratus) dan Dana Pengoptimuman Ekuiti Hong Kong Hong Leong (6.71 peratus). – Bernama