LIMBANG: Kedaifan seorang warga emas kelainan upaya yang tinggal sendirian di rumah pusaka mendapat perhatian Saberkas Cawangan Batu Danau.
Pengerusi Saberkas Cawangan Batu Danau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang turun padang meredah hujan dan air pasang menyantuni tempat tinggal warga emas itu.
Warga emas yang dikenali Juliana Abdullah, 65, mendiami rumah usang milik anak saudaranya yang uzur dan hampir menyembah bumi.
Juliana yang tiada punca pendapatan menghuni rumah hanya mengharapkan bantuan dari adiknya Zainun Injan, 51, yang setia menjaga makan dan minum kakaknya selepas ditinggalkan suami beberapa tahun lalu.
Keadaan rumah yang daif, tiada bekalan elektrik dan air, selain dipenuhi banyak barangan lusuh menyebabkannya menjadi sasaran serangga seperti semut api yang mengigitnya.
“Ular tidak pernahlah masuk, cuma semut api yang sering menghurung ke rumah dan mengigit,”katanya ketika ditemui media pada program Saberkas Prihatin anjuran Saberkas cawangan Batu Danau di kediamannya di Kampung Limpasong semalam.
Paulus pula berkata, Juliana memaklumkannya lebih selesa tinggal sendirian di rumah daif itu meskipun kerap diajak diam bersama adiknya.
Beliau sanggup mendiami rumah berkenaan untuk berteduh meskipun keadaan rumah yang tidak selamat dan boleh runtuh bila-bila masa.
Ketibaan Paulus dan rombongan Saberkas Batu Danau disambut gembira penuh kesyukuran.
SABERKAS Cawangan Batu Danau di bawah Program SABERKAS Prihatin memulakan program kebajikan dengan menyantuni mereka yang memerlukan.
Oleh ADENG EDRUS