KUCHING: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bakal melaksanakan 50 projek bagi pembangunan infrastruktur di kawasan Rajang.
Menurut Pengerusi RADDA, Datuk Len Talif Salleh kesemua projek itu bakal melibatkan kos sebanyak RM1.2 bilion.
Katanya, kesemua projek itu juga merupakan cadangan daripada wakil rakyat di kawasan tersebut termasuk cadangan diberikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita membentangkan 41 buah projek namun begitu akan ada penambahan dari segi jumlah projek, lebih kurang 50 projek yang akan kita laksanakan dengan perbelanjaan sebanyak RM1.2 billion.
“Projek ini bakal memberi impak kepada pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelan Perancangan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) di Kuching pada Selasa.
Tambah Datuk Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, senarai projek akan dimajukan kepada Setiausaha Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) untuk rumusan.
“Selepas mesyuarat ini kita akan memajukan senarai projek ini kepada Setiausaha Kewangan Negeri dan EPU untuk mereka merumus dan menganggarkan peruntukan permohonan kepada Premier Sarawak ataupun daripada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS),” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hing, ADUN Pakan, William Mawan Ikom, ADUN Tellian, Royston Valentine, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi dan pegawai kerajaan yang lain.