BINTULU: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Sarawak mengadakan perbincangan mengenai program berpotensi untuk memulihkan Pelan Sungai (Sungai Plan) dengan salah seorang pemain industri utama di Kidurong.
MEESty dalam kenyataan berkata, Timbalan Menteri MEESty Dr. Hazland Abang Hipni turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain industri di Kawasan Perindustrian Tanjung Kidurong.
Katanya, sebelum pertemuan tersebut, beliau turut mengambil maklum tentang cabaran yang dihadapi oleh pemain industri di situ.
“Perbincangan tersebut berlangsung pada lawatan Timbalan Menteri MEESty, Dr. Hazland Abang Hipni selepas mengadakan mesyuarat penyelarasan di Bintulu baru-baru ini.
“Mesyuarat tersebut disertai oleh agensi di bawah MEESty, iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB), Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB),” katanya.
Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan (Ketua NREB Bintulu), Puan Sinanawati Marto dan Ketua Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bintulu Abdul Mazli Hafiz Abdul Malik antara yang turut hadir dalam perbincangan tersebut.