KUCHING: Festival Perkhemahan Mewah Belia Bandar Kuching yang julung kali diadakan di Sarawak dijadikan sebagai platform usahawan belia tempatan mengetengahkan bakat masing-masing.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dolhadi Mazuki berkata, terdapat lebih daripada 10 gerai usahawan belia tempatan dibuka untuk mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan.
“Selain itu, para pengunjung juga akan dapat menikmati pameran barang-barang berkaitan perkhemahan dan kelengkapannya, persembahan papan selaju oleh Black Brigade Skateboard Academy, pengalaman DIY Crafting dan hiburan nyanyian,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.
Festival yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad minggu ini di salah sebuah pusat beli-belah di Kuching, anjuran Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping dijangka menarik lebih 1,000 hingga 3,000 pengunjung dan peserta.
Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak juga akan menghantar ahli mereka untuk menyertai program dengan mempamerkan gajet mereka, menyiapkan struktur gajet dan persembahan budaya.
Sorotan pada hari pertama adalah pameran perkhemahan dan kelengkapannya, persembahan papan selaju oleh Black Brigade Skateboard Academy, pengalaman DIY Crafting, pertandingan khemah terbaik dan gambar instagram terbaik.
Selain itu juga, akan diadakan sesi dialog Coffee Chat bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat dengan usahawan belia dan pengunjung.
Pada hari berikutnya, akan diadakan demonstrasi unit K9 dan pengendalian haiwan beracun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta pertandingan penyajian sarapan terbaik dalam kalangan peserta perkhemahan.
Pintu masuk adalah percuma untuk acara ini dan tempat perkhemahan mewah boleh ditempah di borneoglamping.com.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pengerusi Penganjur, Shenton Tan di talian 012-8989963.
Oleh NUR AIN OTSMAN