SERIAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (Serian FA) komited untuk melahirkan lebih ramai pengadil baharu dan berkualiti untuk diketengahkan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Menurut wakil Serian FA, Md. Haical Abdullah berkata usaha itu selari dengan fungsi sebenar persatuan dalam memastikan pembangunan bola sepak berterusan di bahagian ini.
“Serian FA sentiasa komited dalam menganjurkan program melahirkan pengadil berkualiti dari semasa ke semasa.
“Ini kerana kerjaya pengadil amat penting dan sudah pasti memberi sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak negeri dan negara secara umumnya,” katanya.
Beliau yang juga mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Kursus Pengadil Bahagian Serian dan penyerahan Badge Pengadil Kebangsaan dan Negeri tahun 2023 di Dewan Ranchan, Serian.
Dalam pada itu, seramai 56 peserta dari sekitar Serian, Kota Samarahan dan Kuching telah menyertai kursus pengadil yang dikendalikan oleh Pengerusi Pengadil Serian FA, Busrah Eri diadakan di Stadium Mini Serian.
Mengulas lanjut, Md. Haical berkata pihaknya (Serian FA) akan sentiasa menggalakkan lebih ramai peminat sukan bola sepak supaya menceburi bidang pengadilan di bahagian ini.
“Kita ingin menggalakkan tumpuan kerjaya pengadil bukan setakat di peringkat daerah, negeri dan kampung malah di peringkat lebih tinggi.
“Ini kerana kerjaya sebagai seorang pengadil juga adalah salah satu komponen kejayaan sesuatu sukan,” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN