KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) mendokong hasrat Kerajaan Sarawak ke arah sektor awam berkelas dunia.
Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, ia telah menyertai dan memenangi pelbagai anugerah kualiti di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
Antara anugerah berprestij yang telah dimenangi adalah Piala Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak (Kategori Agensi Utama Negeri) di mana ia muncul sebagai johan pada tahun 2017.
Malah, baru-baru ini PUSAKA telah disenarai pendek untuk sesi pembentangan dan lawatan tapak untuk Anugerah Premier Sarawak 2022 bagi Kategori Agensi Utama Negeri.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Negeri kepada agensi-agensi Sektor Awam Negeri Sarawak yang telah berjaya menonjolkan kecemerlangan menyeluruh dalam pengurusan organisasi masing-masing.
Pada 2018 lalu, ia telah dipilih sebagai johan Anugerah Key Focus Activities (AKFA) melalui projek hibrid bersama Jabatan Hutan Sabah bertajuk Penyediaan Garis Panduan Pemindahan Balak dan Produk Kayu Di ICQS, Merapok – Sindumin (MERSIN).
Kemudian, pada 2019 ia telah mendapat tempat ketiga (Gangsa) AKFA bersama Jabatan Kastam dan Jabatan Pertanian Sarawak melalui projek hibrid bertajuk Pelaksanaan Pemantauan Kemasukan Balak Import Dan Pelaksanaan Pest Control/Fumigation.
Sehubungan dengan itu, pada Anugerah Penarafan 5 Bintang Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri, PUSAKA berjaya mendapat Anugerah Cemerlang 5 Bintang pada 2015 dan 2018 daripada Jabatan Premier Sarawak.
PUSAKA juga berjaya mendapat Anugerah 5 Bintang Pengurusan Kecemerlangan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dan 2018 yang lalu.
Antara kemenangan yang paling berprestij yang pernah dimenangi adalah Anugerah EMAS di Konvensyen ICC Peringkat Kebangsaan (NICC) 2012 melalui KIK Soundlessmind, Anugerah Tiga Bintang di Asia Pasific Quality Conference 2014 melalui KIK TIMPEPIECE.
KIK The Hummer pula telah dipilih untuk menyertai International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2019 di Tokyo, Jepun dan berjaya mendapat Anugerah Emas.
Oleh NICKELYSON LAKUN