KUCHING: Anggota badan beruniform Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diharap agar lebih peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat semua warga kota Kuching.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, mereka (anggota) perlu menganggap tugas yang telah diberikan sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan dengan semangat yang tinggi.
“Bekerjalah dengan penuh kesungguhan, komited dan galaslah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada anda semua sebaiknya,” katanya pada Majlis Amanat Khas dan Perbarisan Anggota Badan Beruniform DBKU di Depo DBKU, hari ini.
Katanya lagi, sepanjang 2021 dan 2022, anggota badan beruniform DBKU telah meletakkan sepenuh usaha dalam menangani ancaman pandemik Covid-19.
Disebalik memenuhi tugas sekunder tersebut, anggota badan beruniform juga tetap meneruskan tugas-tugas utamanya bagi memastikan keselamatan, kebersihan, ketenteraman dan keharmonian bandar raya Kuching terjamin dan bebas daripada penyakit, pencemaran dan selamat dihuni oleh warga bandaraya.
“Banyak lagi perkara yang telah kita lalui dan kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang tahun yang lalu. Namun begitu, secara keseluruhannya, saya amat berbangga dengan prestasi anggota badan beruniform DBKU.
“Anda semua telah berjaya melaksanakan tugas-tugas mempertahankan keharmonian bandar raya Kuching serta pada masa sama, Berjaya memenuhi tuntutan memastikan kesejahteraan buat warga kota Kuching ini tercapai,” katanya lagi.
Katanya, hasil usaha ini, kita dapat melihat warga kota menunjukkan kepercayaan yang tinggi dan bergantung harap terhadap keupayaan DBKU.
“Warga kota Kuching yakin bahawa khidmat yang diberikan oleh DBKU bukan sahaja berkesan, malah ia lebih dari itu kerana anggota badan beruniform DBKU sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan bandar raya Kuching,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN