KUCHING: Seramai empat suspek berjaya ditahan pihak Polis Kuching dalam Ops Lejang yang bermula sejak 11 Februari lepas.
Menerusi tangkapan pertama, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, polis menahan tiga lelaki yang pecah masuk sebuah bengkel kenderaan di Jalan Datuk Bandar Mustapha.
Hasil penangkapan itu, polis menemui dan merampas beberapa komponen kenderaan bernilai RM3,000.
Turut dirampas ialah dua kenderaan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah.
Ahsmon berkata, hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai 13 sabitan lampau termasuk penyalahgunaan dadah.
Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki tempatan di hadapan bengkel motosikal di Jalan Batu Lintang kerana cuba menjual motosikal curi kepada bengkel berkenaan.
Motosikal curi bernilai RM3,500 itu dirampas untuk siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 1 hingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ahsmon menggesa pemilik kenderaan dan motosikal supaya berhati-hati dengan harta benda masing-masing dan memastikan kenderaan sentiasa terkunci sebelum meninggalkan kenderaan di tempat awam.
Oleh Connie Chieng