KUCHING: Seorang pekerja kapal yang dikhuatiri hilang di pelabuhan Hock Seng Lee Wah pada Rabu lalu telah ditemui sekitar 11.45 pagi tadi dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) berjarak 1.8 kilometer dan di kawasan hilir.
Lelaki warga Myanmar namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tepi tebing sungai berhampiran kuari pelabuhan terbabit.
“Mangsa berjaya ditemui dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, insiden difahamkan berlaku apabila mangsa dan dua rakan sekerja dilibas tali kapal tongkang menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai pada Rabu lalu.
Dua lagi rakan sekerja kepada mangsa dilaporkan turut mengalami kecederaan, seorang patah kaki dan seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Seramai kira-kira 40 petugas terdiri daripada pelbagai agensi turut serta dalam dua hari operasi mencari mangsa di Sungai Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal