Lelaki hilang ketika membaiki kapal tunda ditemukan meninggal dunia

Facebook
WhatsApp
MAYAT mangsa ditemukan meninggal dunia oleh orang awam bersama pasukan SAR yang menjalankan pencarian. Foto: PGO Bomba Sarawak

TANJUNG MANIS, 31 Oktober: Seorang lelaki berusia 51 tahun yang dilaporkan hilang ketika melakukan kerja membaiki kapal tunda ditemukan meninggal dunia pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), petang tadi.

Mangsa yang berasal dari Kampung Koran Empaneg, Serian ditemukan meninggal dunia kira-kira 3.20 petang oleh orang awam bersama pasukan SAR yang menjalankan pencarian di kawasan tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, mangsa dilaporkan hilang selepas disedari tiada di tempat kerjanya oleh rakan sekerja kira-kira 10.00 pagi pada Khamis lalu.

Katanya, mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja baik pulih sebuah kapal tunda sebelum kehilangannya disedari.

“Mangsa yang sedang membuat kerja baik pulih tugboat disedari hilang oleh rakan sekerjanya sekitar 10:00 pagi.

“Usaha mencari di sekitar kawasan kerja mangsa telah dilakukan dan tiada ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, beberapa peralatan kerja mangsa masih berada di lokasi dalam keadaan terbiar ketika pemeriksaan awal dijalankan.

“Di lokasi mangsa bekerja masih terdapat beberapa peralatan yang telah digunakan dan dalam keadaan terbiar.

“Keadaan air pada masa mangsa disedari hilang adalah surut dan aliran agak deras,” katanya.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis tiba di lokasi pada 2.29 petang sebelum mendapatkan maklumat kejadian dan menjalankan pencarian di permukaan air sekitar kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

Operasi hari ketiga bermula pada 7.56 pagi dengan enam anggota BBP Tanjung Manis digerakkan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Terminal Penumpang Tanjung Manis.

Taklimat penyelarasan operasi diadakan pada 9.00 pagi sebelum pasukan penyelamat bergerak menggunakan bot masing-masing kira-kira 9.20 pagi.

“Operasi SAR diteruskan dengan penglibatan beberapa agensi seperti PDRM, UKPS, LSS dan APM.

“Kaedah pencarian dilaksanakan dalam radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dengan menyusuri Sungai Rajang,” katanya.

Katanya, pencarian dilaksanakan secara berulang-alik menggunakan kaedah pencarian di permukaan air, namun mangsa masih belum ditemukan pada peringkat awal operasi.

Usaha pencarian diteruskan oleh semua agensi mengikut sektor dan kawasan yang ditetapkan sehingga petang.

“Mangsa yang dikhuatiri terjatuh dari kapal akhirnya berjaya ditemui oleh orang awam dan pasukan SAR yang terlibat.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan urusan selanjutnya,” katanya.

Jelasnya, operasi melibatkan enam anggota bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Donny Sumping, dengan pemantauan Ketua BBP Tanjung Manis, PBT Bangga Baie dan Ketua Zon 4, PgKB I Andy Alie.

Turut terlibat ialah 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Polis Marin, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), empat anggota Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan (UKPS) serta empat anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

Katanya lagi, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 5.00 petang selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.

Oleh Earl Anek