KUCHING: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merancang membina lebih banyak ruang niaga dan infrastruktur bagi usahawan dan peniaga kecil di luar bandar.
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata setakat ini pempabngunan projek tersebut masih menanti kelulusan dari Kerajaan Persekutuan.
“Apabila ia sudah diluluskan, barulah kita dapat memulakan kerja-kerja sebenar pembinaan ini.
“Antara lain saya mahu melihat UDA Holdings Berhad (UDA) iaitu peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset untuk mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur kepada peniaga kecil khususnya di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Galeri Jualan Baharu UDA Sarawak di pusat beli belah Sarawak Plaza di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ewon berharap UDA Holdings yang merupakan satu agensi di bawah kementeriannya dapat melaksanakan perkara tersebut berikutan kemahiran kejuruteraan dan pembangunan infrastruktur yang dimiliki agensi tersebut.
Mengulas lanjut, Ewon memberitahu pembinaan ruang niaga dan infrastruktur di luar bandar tersebut ialah salah satu cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Sarawak selain daripada pembangunan hartanah di daerah-daerah lain di negeri ini.
“Semasa kunjungan hormat saya kepada Timbalan Premier hari ini (semalam), kita juga menjemput UDA Holdings untuk melihat kemungkinan pemmbanguan di daerah-daerah lain di Sarawak.
“Jadi inilah apa yang kita rancang untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak sekali gus menjadi fokus baharu dan bermula tahun ini kementerian akan menyediakan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur premis kepada para peniaga kecil,” ujarnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA