KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak dengan menubuhkan pavilion di Lalaport Bukit Bintang City Centre.
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pavilion tersebut akan menjadi satu platform untuk PKS Sarawak menjual dan mempamer produk mereka.
Menurut Ewon, pihaknya juga telah menjemput Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan bagi melawat dan merasmikan pavilion tersebut sebaik sahaja ia siap sepenuhnya.
“Ini merupakan komitmen kita kepada PKS di sarawak di mana kita menyediakan pavilion untuk PKS Sarawak bagi mempamer dan menjual produk mereka.
“Pavilion itu terletak di dalam Pusat Bandar Lalaport Bukit Bintang,” katanya kepada media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Awang Tengah, hari ini.
Di samping itu, Ewon memberitahu kementeriannya akan memberj fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak tanpa mengurangkan fokus sedia ada dj seluruh Malaysia.
Menjelas lanjut, beliau mendedahkan bahawa kementeriannya menyediakan empat program pembangunan keusahawanan khas untuk Sarawak dan Sabah manakala terdapat 185 program lain di seluruh negara.
“Semua komuniti di Sabah dan Sarawak layak mengambil bahagian dan pada masa akan datang saya berharap kita akan mendapat input dan cadangan daripada pimpinan negeri khususnya di Sarawak.
“Ini bagi membantu kita untuk merangka belanjawan dan program yang lebih baik pada tahun hadapan,” ujarnya.
Menurut Ewon, empat program tersebut memberi fokus bagi memperkasa usahawan di Sarawak dan Sabah melalui dana khas dan program serta latihan khas untuk usahawan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Dr Ripin Lamat.
Oleh RYNNA SHA’ERRA