KUCHING: Sebanyak 23 kenderaan telah ditahan dalam tempoh satu jam Operasi Khas (Ops Khas) pematuhan nombor pendaftaran kenderaan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) di sepanjang Jalan Song, sebentar tadi.
Mengetuai Ops Khas, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah, memberi amaran bahawa IPD dan BSPT memandang serius dalam mengesan kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan seperti kabur dan ‘fancy’.
Beliau berkata sejak 2021, sebanyak 7,243 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan tersebut.
“IPD dengan kerjasama BSPT menyasarkan kenderaan dengan nombor pendaftaran sedemikian yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 14(4) Akta Trafik Jalan 1987.
“Daripada kesalahan ini, denda antara RM300 hingga RM3,000 dikenakan kepada pesalah. Setakat ini, sejumlah RM2.1 juta telah dikutip,” jelasnya.
Katanya lagi, polis juga telah mengesan 48 kenderaan menggunakan nombor palsu.
Ahsmon berkata, operasi hari ini bertujuan memastikan semua pihak mematuhi penggunaan nombor pendaftaraan menepati spesifikasi yang ditetapkan undang-undang. Perbuatan menggunakan nombor pendaftaran yang palsu atau kabur dan fancy akan menimbulkan masalah bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi orang lain juga.
“Ketika polis melakukan perangkap laju, mereka gagal menangkap nombor yang betul kerana nombor pendaftaran yang dikenakan terlalu kecil dan tidak jelas.
“Saman kadangkala dikeluarkan kepada pemandu yang salah dan ini perlu dihentikan,” ujarnya.
Selain itu, pihak polis juga komited untuk keluarkan saman kepada mereka yang mengubah suai ekzos dengan bunyi dentuman kuat dan mendatangkan gangguan bunyi kepada pengguna jalan raya lain.
Beliau menggesa mereka yang telah mengubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi untuk ubah ke keadaan asal supaya tidak disaman.
Oleh Connie Chieng