PETALING JAYA: Biarpun peralihan tumpuan sektor pendidikan tinggi kepada mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) semakin meningkat, universiti tidak sepatutnya melupakan keutamaan kajian kemanusian, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Dalam Titah Diraja bertajuk “Membentuk Kepimpinan Universiti untuk Pendidikan Tinggi Dalam Abad Ke-21” di Universiti Malaya di sini semalam, baginda bertitah adalah penting untuk pemimpin-pemimpin universiti untuk menyokong kajian kemanusian bagi membolehkan mahasiswa membina kreativiti, kefahaman dan kepekaan yang kukuh ke atas etika dan nilai selain daripada kemahiran insani mereka.
“Izinkan beta pada permulaan ini untuk menzahirkan takziah dan simpati kepada rakyat Turkiye dan Syria berikutan gempa bumi dahsyat yang melanda negara mereka awal minggu ini. Di dalam penderitaan dan kesedihan ini, anda semua berada dalam ingatan dan doa kami,” titah Sultan Nazrin.
Bagaimanapun, baginda bertitah tidak dinafikan kajian kemanusian perlu dilakukan serentak dengan menyiapkan penuntut untuk cabaran moden dan memastikan mereka berdaya saing dalam bidang teknologi dan digital.
“Apa yang perlu kita sedar ialah kemahiran teras yang dipupuk oleh kemanusiaan – komunikasi, membuat keputusan, kebolehan untuk mensintesiskan maklumat dalam jumlah yang besar, mempunyai nilai yang amat besar dalam konteks dunia nyata.
Maksudnya, kita perlu memastikan penuntut hari ini memiliki kedua-dua kemahiran untuk mengambil tindakan yang praktikal dan kebijaksanaan untuk menghalakan tindakan itu kepada pengakhiran yang produktif dan berfaedah,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang juga Canselor Universiti Malaya bertitah adalah penting untuk membina kemahiran diperlukan dengan mengambil subjek kemanusiaan kerana ia merupakan ciri yang dicari syarikat dalam merekrut siswazah hari ini.
“Apa yang mereka mahukan daripada penuntut yang direkrut adalah apa yang kita panggil kemahiran insaniah, minda yang terbuka dan ingin tahu, petah berkata-kata, penulisan yang baik dan pertimbangan yang jelas, keupayaan untuk berfikir secara kendiri, mengimbangi pandangan yang berbeza untuk membuat satu keputusan dan kemudian melaksanakannya,” titah baginda.
Oleh demikian, baginda bertitah pemimpin universiti perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan penuntut mendapat latihan dan bimbingan yang cukup untuk menyesuaikan diri dengan masa depan yang berubah dengan pantas, sambil menambah ia merupakan sesuatu yang sukar dan tidak pernah berlaku dahulu.
“Di abad ke-19 (ketika Revolusi Perindustrian pertama), pemikir hebat melihat kepada universiti untuk membentuk dan membimbing kemajuan di era itu ke arah yang betul, ke arah masa depan yang lebih cerah. Di sini dan pada masa sekarang dalam abad ke-21, beta percaya dunia mesti melihat kepada anda untuk melakukan perkara yang sama!,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah universiti tidak seharusnya beroperasi semata-mata sebagai suatu entiti perniagaan tetapi mesti bertindak selaku peneraju pemikiran, pembela dan penemu ilmu pengetahuan.
Baginda juga percaya bahawa universiti mempunyai tanggungjawab sivik untuk mengumpulkan bakat dan sumber bagi kebaikan masyarakat.
“Kita melihat perkara ini apabila vaksin Covid-19 Astra-Zeneca dibangunkan dengan pantas oleh saintis Universiti Oxford dan universiti itu bertegas berbilion dos patut diagihkan pada harga kos kepada lebih 150 negara dalam kalangan negara membangun,” titah baginda. – Bernama