KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak lagi akan bertolak ansur dengan kontraktor yang ingkar atau tidak cekap dalam melaksanakan projek infrastruktur di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melaporkan kepada beliau mengenai status pelaksanaan projek di negeri ini amat membimbangkan.
Abang Johari berkata setakat 27 Januari, daripada 215 projek yang sedang dalam pembinaan di negeri ini, tiga telah digantung, 34 tertangguh secara kritikal, 29 projek lewat daripada yang dijadualkan dan 149 projek mengikut jadual.
“Semua kontraktor diingatkan supaya serius dan lebih komited dalam melaksanakan projek di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak. Integriti dan profesionalisme mesti dipertahankan semasa pelaksanaan projek.
“Oleh itu, adalah penting bagi kontraktor mengambil kira kapasiti dan keupayaan mereka sendiri apabila melaksanakan projek kerajaan,” katanya dalam ucapannya semasa Seminar ‘Mempertingkatkan Industri Pembinaan Sarawak’ yang diadakan di sini, semalam.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata selepas mendengar taklimat oleh agensi pelaksana masing-masing, beliau mendapati terdapat banyak isu dan cabaran yang dihadapi di lapangan termasuk kekurangan komitmen dan prestasi buruk kontraktor.
Beliau berkata antara projek pembinaam yang tertangguh di negeri ini termasuk Galeri Sejarah Pentadbiran Limbang yang tertangguh kira-kira setahun serta projek menaik taraf lima bulatan di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan yang tertangguh selama dua tahun.
“Projek galeri di Limbang hanyalah projek membina banglo dan saya tanya mereka (kontraktor) apa yang menyebabkan kelewatan? Mereka kata, ia disebabkan bumbung (banglo) belum sampai dari New Zealand. Saya bertanya kenapa anda perlu mengimport (dari New Zealand)? kerana projek itu hanya RM10 juta.
“Inilah yang berlaku, ini bukan masalah kerajaan, ini kontraktor tetapi rakyat sentiasa menyalahkan kerajaan. Wang itu ada, tetapi tertangguh selama bertahun-tahun dan kami perlu mencari kontraktor penyelamat,” katanya. – Bernama