KUCHING: Masyarakat Cina di kawasan Bahagian Kuching dan Serian diminta bekerjasama dengan komuniti Bumiputera dalam usaha mencapai pembangunan bersepadu dibawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak sebelum ini memperuntukkan RM1.5 bilion di bawah GKCDA untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
“Kaum Cina misalnya boleh menerokai bersama industri pertanian pintar dan pelancongan dibawah GKCDA. Dengan penyertaan tenaga mahir daripada komuniti itu akan berupaya membangunkan kawasan ini termasuk bandaraya Kuching dengan industri baharu itu.
“Saya berharap dengan peruntukan RM1.5 bilion itu, kaum Cina boleh bekerjasama dengan komuniti Bumiputera di kawasan GKCDA,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini malam ini.
GKCDA adalah agensi bagi membangunkan kawasan meliputi Bahagian Kuching dan Serian, secara bersepadu.
Abang Johari berkata, Kuching, Samarahan dan Serian merupakan bahagian yang akan ditingkatkan tahap mobiliti terutama apabila siapnya projek kemudahan awam seperti Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang dikuasakan oleh hidrogen di kawasan berkenaan.
“Ini kerana kita mahu menjadi bandar pintar. Bandar pintar yang kurang pencemaran dan dengan ini, kita akan berbangga dengan bandar kita,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengakui bahawa perancangan pembangunan kerajaan Sarawak dirancang dengan begitu baik.
“Minggu depan pula saya dijemput untuk menjadi penceramah mengenai bandar pintar di Kuala Lumpur anjuran Sunway.
“Orang Sarawak dijemput untuk memberi ceramah tentang bandar pintar, ini bermakna orang Sarawak pintar-pintar orangnya ,” katanya.
Turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Presiden Pertubuhan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Richard Wee Liang Chiat.
Oleh SHAHRUL QAIZAT