SIBU: Hasrat seorang penghantar barang tidak kesampaian apabila gagal sampai ke destinasi seperti dirancang akibat terlibat dalam kemalangan berdekatan Batu 8, berhadapan Institut Memandu Ngu Chun Ben awal pagi tadi.
Mangsa, Jalin Morice, 28, terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar barang menghala dari Sibu ke Kapit dilaporkan mengalami kecederaan iaitu koyak di bahagian sebelah kanan muka, patah kaki kiri dan kanan.
Komander Operasi Bomba, Thompson Sumping berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian 8.55 pagi.
“Anggota mengeluarkan mangsa tersepit pada bahagian pemandu dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa tersepit merupakan pemandu van dalam perjalanan menghantar barang menghala dari Sibu ke Kapit dan berlakunya kemalangan jalan raya melibatkan lori kontraktor dan sebuah hilux ,” katanya dalam satu kenyataan.
Setelah berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba, mangsa yang tersepit itu kemudiannya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi tamat sekitar 9.42 pagi.