KUCHING: Seramai 91 individu antaranya seorang wanita ditahan oleh Polis Sarawak dalam 18 serbuan Op Limau yang dijalankan 15 hingga 29 Januari lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri mendedahkan perkara tersebut hari ini berkata, 87 suspek diberkas terdiri daripada warga tempatan dan empat warga asing berusia antara 17 dan 63 tahun.
“Dalam tempoh itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM14,670 termasuk set peralatan judi.
“Antara permainan haram yang dirampas ialah enam (6) set daun terup (1 set 52 keping), 324 keping cip beranggaran RM 25,700, 112 biji tau gee, sebuah meja kayu, tiga kerusi plastik, 12 biji dadu, enam (6) helai kain holo, tiga (3) bilah taji ayam, dua (2) unit Peni ang, 14 ekor ayam hidup dan lapan (8) ekor ayam mati,” jelasnya.
Mohd Azman berkata, suspek disiasat mengikut peruntukan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di dalam bangunan dan Seksyen 7 (2) akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di luar bangunan.
Jika sabit kesalahan, katanya, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Setakat ini, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan suspek manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Tambahnya, kesemua suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjurkan perjudian haram. Pihak polis, katanya sedang pergiat serbuan ke atas setiap penganjuran aktiviti haram.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti perjudian supaya menyalurkan maklumat tersebut melalui talian hotline Whatsapp Op Limau di talian 013-5253052.
Oleh Connie Chieng