SIBU: Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta menghulurkan sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 36.
Pegawai Khasnya, Jefri Ngelambai menyerahkan sumbangan tersebut pada majlis yang berlangsung di dewan sekolah tersebut, hari ini.
Sumbangan itu bertujuan bagi menampung perbelanjaan rombongan murid Tahun 6 untuk program beberapa destinasi di bandar Mukah seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Mukah, lawatan ke Muzium ‘Sapan Puluh’ dan Lapangan Terbang Baharu Mukah.
Selain itu, pelajar akan mengadakan Kem Bina Insan dan sukaneka di Kingwood Resort Mukah.
Dalam ucapan ringkasnya, Jefri memohon maaf bagi pihak Edwin kerana tidak dapat hadir pada majlis tersebut.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat meringankan usaha pihak sekolah dalam usaha mencari dana bagi menampung program sekolah.
Sementara itu, Guru Besar SK Batu 36, Alas Rambli merakamkan berbanyak terima kasih kepada Edwin di atas sumbangan tersebut.
Beliau menyatakan, rombongan sekolah akan bertolak pada 7 hingga 8 Februari ini, rombongan akan disertai seramai 51 murid Tahun 6 dengan diawasi oleh enam guru pengiring.
Oleh AKUN GIMAN