TELANG USAN: Seramai 56 usahawan dari sekitar Daerah Telang Usan menerima bantuan keusahawanan di bawah Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA).
Bantuan berbentuk peralatan, mesin dan alat kelengkapan itu bertujuan untuk membantu serta meningkatkan taraf perniagaan kecil Bumiputera yang berpotensi dan berdaya maju.
Menurut UKAS, program itu adalah hasil usaha sama Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Bantuan itu diagihkan pada satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau di Kampung Long Bedian di sini Sabtu lalu.
Antara senarai penerima termasuk 35 orang dari Kampung Long Bedian, 12 orang dari Kampung Long Latei, tiga orang masing-masing dari Kampung Long Luteng dan Long Lama serta seorang masing-masing dari Long Anyat, Long Daloh dan Long Atip.
Hadir sama, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Pengarah Bahagian Perolehan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Rozita Mohamad Ibrahim, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC Nik Adam Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Jim Apoi.
Foto UKAS