KUCHING: Jika berlaku masalah berkaitan bekalan air terutama di luar bandar dan pedalaman,
tidak perlu menghebahkannya hingga jadi viral di media sosial.
Sebaliknya, kata Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Chang Kuet Shian orang ramai boleh menghubungi JBALB menerusi talian khidmat pelanggannya yang beroperasi 24 jam di talian 082-262211.
“Orang ramai boleh menghubungi JBALB sekiranya timbul isu berkaitan air terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak daripada menularkannya di laman sosial.
“Khidmat pelanggan kami beroperasi 24 jam. Ini merupakan mod terpantas bagi JBALB untuk menyelesaikan isu dan maklum balas dalam mengendalikan aduan, pertanyaan dan maklumat mengenai sebarang isu, gangguan bekalan air, akaun bil pelanggan dan maklumat berkaitan pelanggan yang lain.
“Perkara ini amat penting bagi pihak kami kerana sekiranya sesuatu isu itu ditularkan di media sosial terlebih dahulu, pihak kami akan mengambil masa yang lama untuk mengesahkan maklumat atau aduan diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis bersama media di sebuah hotel di sini, hari ini.
Chang berkata media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat berkaitan JBALB kepada masyarakat.
Katanya, melalui akhbar, JBALB boleh menggunakan rangkaian sedia ada untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat.
“Melalui ini, segala maklumat dan aduan daripada rakyat dapat diterima dan diselesaikan secepat mungkin.
“Malah kami cuba meningkatkan kualiti air dari tahun ke tahun,” katanya.
Chang berkata, JBALB turut memfokuskan pembayaran bil yang pantas dan tepat.
“Itulah sebab kami bercakap mengenai akses awam ke perkhidmatan portal Service Sarawak sarawak.gov.my dan State Water Utilities Services System (SWUSS).
“Apabila orang ramai log masuk ke laman web tersebut, mereka bukan sahaja boleh membayar bil JBALB tetapi semua bil pihak berkuasa lain.
“Malah, mereka boleh mendapatkan bil serta membuat pembayaran secara dalam talian yang dikemas kini secara serta-merta,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pihak JBALB sering berdepan masalah vandalisme yang dilakukan terhadap kemudahan yang disediakan.
“JBALB menanggung kos vandalisme sehingga RM30 juta setahun,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
Chang Kuet Shian ketika bercakap kepada media di Kuching hari ini.