KUCHING: Isu penjagaan kesihatan di Sarawak akan ditangani melalui perbincangan peringkat menteri.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata beliau telah diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck semalam mengenai beberapa perkara termasuk klinik daif, kekurangan bajet, komunikasi, isu rangkaian di luar bandar, dan lain-lain lagi.
“Kementerian Kesihatan menyedari masalah penjagaan kesihatan di Sarawak, dan kami sedang membincangkan isu ini dengan jabatan dan kementerian berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak, disini malam tadi.
Pada masa sama, beliau turut memuji Pusat Jantung Sarawak atas kejayaannya dalam mengubah kemudahan dan meluaskan rangkaian rawatan serta perkhidmatan untuk merawat penyakit jantung, masalah buah pinggang dan kanser.
“Saya sanjungi usaha sebegini dalam memastikan rakyat mendapat penyampaian perkhidmatan terbaik dalam menerima penjagaan kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut merakamkan ucapan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak atas Program Vaksinasi Covid-19 di mana sejumlah 12,612 orang telah mengambil dos penggalak kedua diberikan melalui semua pejabat kesihatan bahagian, hospital, agensi kerajaan dan kemudahan kesihatan swasta.
“Ini sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan untuk
menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19. Pemvaksinan
akan diteruskan secara besar-besaran di seluruh Sarawak sehingga penghujung Januari 2023,” katanya.
Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian isteri, Datin Sri Enn Ong; Setiausaha Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Keterangan gambar
Dr Zaliha Mustafa berucap pada majlis makan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Kuching malam tadi.