SIBU: Tertarik dengan harga murah kereta jenama Mercedes Benz melalui iklan di media sosial facebook, seorang lelaki kerugian RM17,998.99 apabila melakukan transaksi jumlah itu sebagai wang pendahuluan.
Lelaki berusia 50-an itu, ‘terperangkap’ apabila kemudian berurusan melalui What’s App bagi membeli kereta jenama Mercedes Benz model Jip/230GE yang berharga RM33,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata kejadian itu mula berlaku Khamis lalu, 12 Januari apabila mangsa tertarik dengan iklan kereta terpakai di facebook yang dikatakan dari Pulau Pinang
“Mangsa telah membuat pembayaran secara atas talian berjumlah RM17,998.99 dengan tiga kali transaksi kepada satu akaun bank tempatan kononnya bagi tujuan wang pendahuluan, bayaran Puspakom serta pengurusan kereta.
“Pada 13 Januari mangsa tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menguruskan pembelian kereta. Namun, mangsa dapati nombor telefon miliknya telah disekat dan tidak boleh lagi berhubung dengan penjual kereta berkenaan.
“Mangsa telah buat laporan polis pada hari sama dan kerugian yang dialami wang simpanan milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan polis itu dibuat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.
Zulkipli menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan sebelum melakukan pembelian secara atas talian bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, katanya, orang ramai perlu lebih peka dengan harga pasaran semasa supaya tidak terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan di media sosial.
“Sikap berhati-hati dan berwaspada sebelum membuat keputusan perlu ada dalam diri sebagai langkah pencegahan pertama kerana pilihan adalah ditangan sendiri,” katanya.
Sebarang nasihat dan kemusykilan berkaitan jenayah komersial boleh dirujuk kepada Pusat Tindak Balas Penipuan (CCID) di talian 03-26101559 atau 03-26101599 ikuti laman facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.
Bagi mendapatkan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui, semakan boleh dibuat melalui
laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
Mangsa penipuan siber juga dinasihatkan untuk terus menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 yang beroperasi setiap hari pada 0800 pagi sehingga 8 malam.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR