KUALA LUMPUR: Majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini, menyatakan sokongan terhadap usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi undian yang dijalankan pada 4.52 petang tadi di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, mendapati majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyokong usul tersebut.
“Majoriti perwakilan UMNO bangun dan angkat tangan sokong Usul Ucapan Dasar Presiden dengan satu tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.
“Yang tidak sokong pun diminta berdiri dan angkat tangan, tapi bilangan sangat sedikit,” katanya dalam hantaran di Twitter hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil menerusi hantaran di Facebook mengesahkan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini, diterima dan disokong hampir semua perwakilan selain semua usul yang dibawa oleh perwakilan.
Usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin, semalam.
Pemilihan UMNO perlu dilaksanakan sebelum 19 Mei tahun ini iaitu enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Bernama.
— BERNAMA