SIMANGGANG: Seorang remaja lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan kendiri berdekatan simpang Taman Makmur, Jalan Brayun dekat sini awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Mass Nur Haslinda Abdullah berkata sebelum berlaku kejadian, mangsa berusia 15 tahun itu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Sri Jaya menuju ke Kampung Hilir.
“Pusat Kawalan (Bilik Gerakan) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima panggilan pada jam 8.10 pagi tadi yang melaporkan berlaku satu kemalangan kendiri di kawasan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik di situ,” katanya.
Haslinda berkata kemalangan berkenaan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian dengan kematiannya itu disahkan oleh pihak paramedik Hospital Sri Aman yang tiba di lokasi.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kematian kerana memandu melulu atau berbahaya,”katanya.
Haslinda juga memohon kepada orang ramai untuk bertindak menghubungi IPD Sri Aman di talian 083322121 sambungan 267 sekiranya ada terlihat kejadian kemalangan berkenaan.
Oleh VALENTINE NGUMBANG
Keterangan gambar
MALANG…Pihak bomba sedang memeriksa keadaan motorsikal ditunggang seorang remaja yang maut dalam kemalangan kendiri berdekatan Taman Makmur, Jalan Brayun, Bandar Simanggang awal pagi tadi.