SIBU: Persatuan Jualan dan Perkhidmatan Elektrik dan Elektronik Zon Tengah Sarawak membawa sinar kegembiraan kepada 15 warga penghuni Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu sempena Hari Krismas.
Pengerusi persatuan, Lau Wang Mee dan pengerusi pengelola, Lau Chin Wei mengetuai kunjungan amal itu yang turut disertai sembilan ahli persatuan.
Ketibaan rombongan ahli persatuan disambut Pengerusi TTG Sibu, Kapitan Tieng Mee Ann dan Penolong Penyelia TTG Sibu, Mow Yoke Ming.
Kesemua penghuni menerima hadiah Krismas dan TTG Sibu juga menerima bantuan makanan dan barangan keperluan harian sumbangan persatuan.
Program itu turut dihadiri setiausaha dan bendahari persatuan, Ting Hing Teck dan Kaunselor Michelle Law Wan Ling.
Michelle memberitahu, program amal itu merupakan acara tahunan persatuan dan tahun ini adalah kali ketiga diadakan untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Program pertama persatuan menyumbangkan solar LED kepada Sekolah Menengah (SMK) Citizen Middle yang terlibat dalam kejadian kebakaran, diikuti program amal bantuan makanan kepada rumah kanak-kanak dan warga emas Sibu Benevolent Society Nursing Home.
“Tahun ini kami memilih TTG Sibu dengan memberi sumbangan bantuan makanan dan keperluan harian. Kami berharap dapat memberi keceriaan dan kegembiraan kepada warga penghuni TTG Sibu menjelang Hari Krismas,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
MEMBAWA SINAR KEGEMBIRAAN….Wang Mee (depan, tiga kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada Tieng (depan, lima kiri) sambil diperhatikan oleh yang lain.