KUCHING: Tiga jaguh bina badan negara kelahiran Sarawak, Buda Ak Anchah, 50, Dr Malvern Abdullah, 47 dan Philomena Dexclyn, 39 gembira dapat menyumbang pingat buat negara pada penampilan di Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik 2022 di Thailand baru-baru ini.
Kejayaan itu adalah pencetus semangat mereka untuk terus melakar kecemerlangan apabila mewakili negara di temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2023 yang akan berlangsung di Kemboja.
“Saya berasa cukup gembira sekali kerana berjaya menyumbang pingat pada kejohanan tersebut.
“Apa yang diperoleh ini hasil kerja keras selama ini,” kata Buda pada sidang media ringkas setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini hari ini.
Malvern Abdullah juga gembira dengan kejayaan diperoleh dirinya dalam kejohanan terbabit.
Menurut Malvern, dia begitu teruja apabila dapat memastikan pingat emas menjadi miliknya.
Philomena Dexclyn juga turut meluah rasa gembira yang tidak terhingga disebalik penampilannya dalam kejohanan tersebut.
“Permulaan yang cukup membanggakan bagi diri saya walaupun sekadar menduduki tempat keempat dalam kejohanan kali ini,” katanya.
Untuk makluman, kejohanan yang berlangsung di Phuket, Thailand dari 6 hingga 12 Disember lalu, Buda Ak Anchah berjaya meraih satu pingat emas dan satu gangsa.
Pingat emas diperoleh menerusi kategori ‘Men’s Master Bodybuilding’ (50-59 Tahun).
Pingat gangsa dari kategori campuran menerusi gandingan dengan Meilaura Dora Jimmy.
Pingat emas Dr Malvern Abdullah diperoleh dalam kategori Men’s Physique Up 160cm dan menduduki tempat keempat dalam kategori campuran bersama gandingan Philomena Dexclyn.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
Bangga…. Ketibaan tiga jaguh bina badan negara disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejurus tamat Kejohanan Bina Badan Dunia dan Sukan Fizik 2022 yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.