KUCHING: Sarawak dan Korea Selatan terus menjalin hubungan dua hala menerusi kerjasama untuk membangun perniagaan penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif CCS itu bertujuan menyokong perniagaan tenaga hijau.
Katanya, CCS adalah satu penyelesaian berdaya maju secara komersial yang berpontensi digunakan untuk membuat hidrogen, amonia biru, bahan api bio serta produk lain yang berkaitan.
“Ini sekali gus menyediakan platform yang mampan di Sarawak di samping membolehkan penjanaan kredit karbon.
“Ia adalah salah satu teknologi yang mampu menggantikan karbon dioksida dengan secukupnya selain merupakan satu-satunya teknologi yang mampu mengurangkan pelepasan berskala besar daripada pelbagai sumber perindustrian.
“Di samping itu, teknologi ini boleh diguna pakai semula untuk banyak kemudahan sedia ada, sekali gus membolehkan kemudahan tersebut beroperasi secara bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan syarikat Kumpulan POSCO dari Korea, di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Kerjasama melalui MoU itu bertujuan membangunkan perniagaan penyerapan dan penyimpanan karbon di Sarawak.
Abang Johari berkata, selain itu CCS juga dilaksanakan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau menerusi peluang yang timbul daripada CCS di samping menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial perniagaan CCS.
Katanya, Sarawak perlu menumpukan kepada pembangunan dan pelaksanaan teknologi tenaga yang lebih bersih merentas rantaian nilai untuk membolehkan negeri ini memenuhi permintaan tenaga dunia secara mampan dan cekap.
Abang Johari kemudian menyaksikan upacara menandatangani MOU itu.
PETROS diwakili Pemangku Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak, Anyi Ngau, manakala Kumpulan POSCO pula diwakili Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pejabat Perniagaan Hidrogen POSCO Holdings, Cho Ju Ik, Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO Engineering and Construction, Jeong Woo Sik serta Ketua Unit Perniagaan Hidrogen POSCO International, Yu Yang Jae.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kerajaan negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Keterangan gambar
DEMI RUMAH HIJAU…. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara PETROS dan Kumpulan Posco di Kuching, hari ini.