LAWAS: Petugas Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah pejuang sebenar dalam memastikan gabungan empat parti itu memperoleh kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pihaknya menghargai pengorbanan petugas ini khususnya di kawasan Parlimen Lawas yang bekerja keras tanpa mengira batas waktu dan keselamatan diri.
“Petugas-petugas parti kita telah berjuang dengan berani tanpa memikirkan keselamatan diri mengharungi jalan tidak baik dan cuaca yang tidak menentu.
“Inilah semangat yang telah memberi hasil yang amat membanggakan,” katanya pada majlis penghargaan petugas PRU ke-15 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Awang Tengah berkata, perjuangan itu perlu berterusan dilaksanakan bagi memastikan pembangunan terus berjalan, negara aman, rakyat hidup bersatupadu dan bekerjasama.
Malah katanya, perjuangan itu juga adalah untuk masa depan generasi baharu yang masih memerlukan banyak kemudahan serta keperluan mendepani cabaran yang semakin kompleks.
“Kita akan terus berjuang dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mencapai satu misi dan visi yang sama demi masa depan generasi baharu kita dan Sarawak khususnya,” katanya.
Seramai 350 petugas PRU-ke 15 terdiri daripada penjawat awam, petugas parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari dan Ba’ kelalan dan komponen GPS di Parlimen Lawas.
Awang Tengah juga berkata kejayaan Henry Sum mempertahankan kerusi Parlimen Lawas adalah berkat kerjasama semua.
Beliau mahu semua jentera terus fokus dalam memberi khidmat dan mendengar keluhan rakyat setelah mendapat mandat yang besar ini.
Oleh ADENG EDRUS
Keterangan gambar
PENGHARGAAN…. Awang Tengah, Henry Sum dan Paulus bersama isteri masing-masing memotong kek apresiasi petugas PRU ke-15 di Lawas malam tadi.