LIONG CHAI LING
MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan tiada sebarang kenaikan harga ayam sepanjang musim perayaan ini.
Ketua Cawangan KPDNKK Miri Joe Azmi Jamil berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati sembilan jenis barangan harga terkawal termasuk ayam bagi musim perayaan Hari Raya Puasa masih terkawal di sini.
Katanya, kesemua sembilan jenis barangan tersebut adalah mengikut harga yang ditetapkan malah ada yang lebih rendah berbanding harga yang ditetapkan.
“Kami juga mendapati tiada sebarang kenaikan harga ayam seperti yang berlaku di Semenanjung.
“Justeru,masyarakat diingatkan supaya tidak panik kerana bekalan barangan keperluan bukan sahaja mencukupi tetapi mematuhi harga yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Joe berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP)Hari Raya Puasa 2020 di pasar basah di Pusat Komersial Emart Tudan di sini, semalam.
Sembilan jenis barangan harga terkawal tersebut berkuat kuasa kelmarin hingga 3 Jun ini merangkumi ayam hidup, ayam standard,ayam super, daging lembu import, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam C, kelapa biji dan kelapa parut.
Menurut Joe, pihaknya akan terus mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dengan menaikan harga barang keperluan sepanjang musim perayaan ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dibawah SHMMP sempena musim perayaan ini.
“Peniaga yang gagal mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” ujarnya.