SIBU: Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan saringan kesihatan tanpa menunggu ada simptom penyakit khususnya penyakit tidak berjangkit.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ini penting terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit tertentu dalam keluarga dan mesti membuat pemeriksaan seawal mungkin sebelum umur 40 tahun.
“Penyakit tidak berjangkit seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis jarang yang menunjukkan simptom awal. Jangan takut untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana ia mampu mencegah penyakit.
“Jangan tunggu ada simptom, saringan kesihatan perlu dilakukan tanpa menunggu ada simptom,” katanya selepas menyempurnakan Program Jelajah Saringan Kesihatan Percuma Sihat Sarawakku di Kampung Bahagia Jaya Teku, di sini hari ini.
Mengenai program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata Jelajah Sihat Sarawakku akan diadakan di tujuh lokasi meliputi kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Nangka mulai hari ini hingga 19 Disember.
“Orang ramai boleh hadir mendapatkan saringan kesihatan percuma ujian tekanan darah, pemeriksaan fizikal, BMI dan ujian komosisi badan.
“Peserta yang layak di bawah skim PEKAB40 atau PERKESO HSP juga boleh melakukan ujian darah dan air kencing percuma,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN