KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai doktor dan kakitangan perubatan terlatih untuk menyediakan penjagaan perubatan yang berkualiti di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata lebih ramai bakat tempatan dalam bidang perubatan boleh memastikan perkhidmatan perubatan mencukupi dapat disediakan.
Katanya, bagi tujuan itu juga, kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak, akan terus menganugerahkan 40 biasiswa setiap tahun untuk rakyatnya belajar perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
“Walaupun ia datang dengan kos yang besar, inisiatif ini perlu diteruskan untuk meningkatkan nisbah doktor dengan jumlah penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-50 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sarawak di sebuah hotel tempatan di sini malam tadi.
Abang Johari berkata Sarawak juga memerlukan peruntukan tambahan bagi perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kebolehcapaian penjagaan kesihatan berkualiti terutama di kawasan luar bandar.
Katanya, pada masa ini perbelanjaan penjagaan kesihatan awam negara adalah purata 2.58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, dalam cadangan Kertas Putih Kesihatan baru-baru ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memohon peruntukan perbelanjaan kesihatan awam ditingkatkan kepada lima peratus daripada KDNK bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam bertaraf dunia di masa hadapan.
“Untuk mencapai kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan, Sarawak perlu mengutamakan pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar.
“Selain kemudahan penyelidikan, kita perlu terus memperkukuh keupayaan penjagaan kesihatan dengan membina infrastruktur sumber manusia negeri ini,” katanya.
Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni.
Oleh SHAHRUL QAIZAT